HUKUM KENCING SAMBIL BERDIRI.
Diriwayatkan dari Imam Abu Huzaifah radhiallahu anhu yang menceritakan :
Suatu ketika Nabi shallallahu alaihi wasallam singgah di suatu tempat
pembuangan sampah berhampiran dengan daerah suatu kaum. Di situ beliau
membuang air kecil sambil berdiri. Melihat itu aku segera pergi menjauh
tetapi beliau malah berkata : Mendekatlah ke mari Aku pun segera
menghampirinya hingga berdiri berhampiran dengan tumitnya. Kemudian aku melihatnya berwuduk dan menyapu kedua-dua khufnya.
(Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)
Petikan hadis di atas ini adalah untuk menunjukkan bahawa harus kencing
sambil berdiri. Tetapi ia bukan untuk menunjukkan kebiasaan Rasulullah
shallallahu alaihi wasallam kencing sambil berdiri. Kebiasaan Rasulullah
ialah kencing secara duduk.
Imam An-Nawawi mengatakan kencing
dalam keadaan duduk adalah lebih baik mengikut pandanganku namun jika
seseorang kencing dalam keadaan berdiri maka itu juga tetap di bolehkan.
Kedua-dua keadaan ini pernah dilakukan oleh Rasulullah shallallahu
alaihi wasallam.
Ada sebahagian ulamak mengatakan bahawa hukum
kencing berdiri adalah makruh kecuali jika ada sebarang keuzuran.
Menurut mereka perbuatan Nabi kencing berdiri adalah kerana ada keuzuran
bagi baginda. Kemungkinan susah bagi baginda untuk duduk pada ketika
itu memandangkan tempat itu ialah tempat pembuangan sampah atau mungkin
juga baginda mengalami sakit tulang belakang. Menurut Imam Syafie orang
Arab jika mereka mengalami sakit belakang mereka akan kencing berdiri.
Di kalangan para sahabat sendiri terdapat khilaf tentang kencing
berdiri. Terdapat riwayat menceritakan bahawa Saidina Umar radhiallahu
anhu , Imam Ali radhiallahu anhu , Zaid bin Tsabit, Ibnu Umar, Imam Abu
Hurairah radhiallahu anhu dan Imam Anas radhiallahu anhu pernah kencing
sambil berdiri. Antara sahabat yang memakruhkannya pula ialah Imam Ibnu
Mas’ud radhiallahu anhu dan diikuti oleh Imam as-Sya’bi dan Ibrahim bin
Sa’ad.
Rumusan dari perbahasan kencing berdiri di atas maka
hukumnya adalah HARUS jika orang tersebut mengalami kesukaran untuk
kencing duduk. Manakala hukum MAKRUH pula jika orang tersebut melakukan
kencing berdiri dengan sengaja dan ia tidak mengalami apa-apa kesukaran
dan musibah. Namun yang TERBAIK ialah kencing sambil DUDUK. Ini
ditegaskan oleh Imam Ibnu al-Munzir :
Kencing sambil duduk lebih aku
sukai. Namun kencing berdiri hukumnya adalah harus. Kedua-duanya ada
dalil dari Nabi shallallahu alaihi wasallam.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 ulasan:
Catat Ulasan