Pages

Subscribe:

Jumaat, 10 Januari 2014

HUKUM KENCING BERDIRI

HUKUM KENCING SAMBIL BERDIRI.

Diriwayatkan dari Imam Abu Huzaifah radhiallahu anhu yang menceritakan :

Suatu ketika Nabi shallallahu alaihi wasallam singgah di suatu tempat pembuangan sampah berhampiran dengan daerah suatu kaum. Di situ beliau membuang air kecil sambil berdiri. Melihat itu aku segera pergi menjauh tetapi beliau malah berkata : Mendekatlah ke mari Aku pun segera menghampirinya hingga berdiri berhampiran dengan tumitnya. Kemudian aku melihatnya berwuduk dan menyapu kedua-dua khufnya.
(Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)
Petikan hadis di atas ini adalah untuk menunjukkan bahawa harus kencing sambil berdiri. Tetapi ia bukan untuk menunjukkan kebiasaan Rasulullah shallallahu alaihi wasallam kencing sambil berdiri. Kebiasaan Rasulullah ialah kencing secara duduk.

Imam An-Nawawi mengatakan kencing dalam keadaan duduk adalah lebih baik mengikut pandanganku namun jika seseorang kencing dalam keadaan berdiri maka itu juga tetap di bolehkan. Kedua-dua keadaan ini pernah dilakukan oleh Rasulullah shallallahu alaihi wasallam.

Ada sebahagian ulamak mengatakan bahawa hukum kencing berdiri adalah makruh kecuali jika ada sebarang keuzuran. Menurut mereka perbuatan Nabi kencing berdiri adalah kerana ada keuzuran bagi baginda. Kemungkinan susah bagi baginda untuk duduk pada ketika itu memandangkan tempat itu ialah tempat pembuangan sampah atau mungkin juga baginda mengalami sakit tulang belakang. Menurut Imam Syafie orang Arab jika mereka mengalami sakit belakang mereka akan kencing berdiri.

Di kalangan para sahabat sendiri terdapat khilaf tentang kencing berdiri. Terdapat riwayat menceritakan bahawa Saidina Umar radhiallahu anhu , Imam Ali radhiallahu anhu , Zaid bin Tsabit, Ibnu Umar, Imam Abu Hurairah radhiallahu anhu dan Imam Anas radhiallahu anhu pernah kencing sambil berdiri. Antara sahabat yang memakruhkannya pula ialah Imam Ibnu Mas’ud radhiallahu anhu dan diikuti oleh Imam as-Sya’bi dan Ibrahim bin Sa’ad.

Rumusan dari perbahasan kencing berdiri di atas maka hukumnya adalah HARUS jika orang tersebut mengalami kesukaran untuk kencing duduk. Manakala hukum MAKRUH pula jika orang tersebut melakukan kencing berdiri dengan sengaja dan ia tidak mengalami apa-apa kesukaran dan musibah. Namun yang TERBAIK ialah kencing sambil DUDUK. Ini ditegaskan oleh Imam Ibnu al-Munzir :
Kencing sambil duduk lebih aku sukai. Namun kencing berdiri hukumnya adalah harus. Kedua-duanya ada dalil dari Nabi shallallahu alaihi wasallam.

0 ulasan:

Catat Ulasan