Pages

Subscribe:

Jumaat, 16 November 2012

~* Ke Makam Bonda ~*

Kami mengunjungi pusara bonda.
Sunyi pagi disinari suria.
Wangi berseri puspa kemboja.
Menyambut kami mewakili bonda.

Tegak kami di makam sepi.
Lalang-lalang tinggi berdiri.
Dua nisan terkapar mati.
Hanya papan dimakan bumi.

Dalam kenangan kami melihat.
Mesra kasih bonda menatap.
Sedang lena dalam rahap.
Dua tangan kaku berdakap.

Bibir bonda bersih lesu.
Pernah dulu mengucupi dahiku.
Kini kurasakan kasihnya lagi.
Meski jauh dibatasi bumi.

Nisan batu kami tegakkan.
Tiada lagi lalang memanjang.
Ada doa kami pohonkan.
Air mawar kami siramkan.

Senyum kemboja mengantar kami.
Meninggalkan makam sepi sendiri.
Damailah bonda dalam pengabadian.
Insan kerdil mengadap Tuhan.

Begitu bakti kami berikan.
Tiada sama bonda melahirkan.
Kasih bonda tiada sempadan.
Kemuncak murni kemuliaan insan.

Usman Awang. Ke Makam Bonda.

0 ulasan:

Catat Ulasan